SIRAH DIRI RASULULLAH S.A.W


Assalammualaikum dan salam sejahtera,

Sejarah hidup Rasulullah saw, merupakan suatu yang perlu diketahui dan dijadikan contoh buat diri kita, kita perlu mengetahuinya kerana kita mahu menjadikan kiri kita orang yang paling mengasihi dan mencintai diri rasulullah saw, adakah kita akan mencintainya sekiranya kita tidak memahami bagaimanakah cara hidupnya dan tidak menghayati segala apa yang telah dilakukannya didalam kehidupannya.

Seorang rasul yang telah meninggalkan begitu banyak suri tauladan untuk kita ikuti dan memberikan kita begitu banyak kenangan manis untuk kita jiwai. Sekiranya sekarang apabila disebut tentang penyanyi, ramai akan muda yang mengikuti cara kehidupan hariannya, namun adakah dengan mengikuti perjalanan kehidupan itu akan memberikan pahala yang besar di sisi Allah swt? Tentu tidak tetapi sekiranya kita meneliti kehidupan dan sirah kehidupan Rasullullah saw tentunya kita akan diberikan kebaikan kerana kita cuba untuk mengenal kekasih Allah swt. Tentu kita akan diberkati oleh Allah swt.

Hari ini saya berkesempatan berbincang tentang ISO dengan seorang rakan yang baru di audit oleh sirim dan beliau menjelaskan bahawa ramai rakan-rakan yang bercuti hari ini kerana meraikan penat lelah setelah mempersiapkan diri untuk di audit oleh Sirim. Saya lantas terfikir bagaimanakah kehidupan kita apabila di audit oleh Allah swt nanti, adakah kita mempersiapkan diri kita agar benar-benar bersedia untuk menghadapi semakan oleh Allah swt nanti, bagai manakah sikap kita kepada rasul yang telah membawa berita gembira dan menakutkan, adakah kita benar-benar mahukan yang terbaik buat diri kita seperti kita mahukan yang terbaik buat unit kita kerana nak di audit oleh Sirim.

Audit yang dilakukan Oleh allah swt tidak pernah tersilap dan tidak pernah terlepas pandang, setiap yang telah kita lakukan pasti akan di bawa kepada pengadilan dan kita pasti akan mendapat balasan yang baik atau yang buruk kesan daripada tindakan di dunia ini. Oleh sebab itu apakah yang kita telah sediakan untuk mendapatkan keputusan yang terbaik bagi pepemeriksaan dari Allah swt nanti? Marilah kita bermula dengan melahirkan sedikit perasan cinta kepada kekasih Allah swt dengan meneliti sirah diri Rasulullah saw. Amin
TUJUAN MENGKAJI SIRAH RASULULLAH SALLAHU’ALAIHIWASALLAM

Tujuan mengkaji riwayat hidup Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Kita tidak seharusnya menganggap kajian sejarah hidup Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ini sama dengan membaca dan menela’ah sejarah para tokoh yang biasa.

Tujuan pokok daripada kajian sirah Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ialah supaya setiap muslim dapat memahami, menanggap dan menggambarkan hakikat zahir dan batin Islam yang teradun di dalam kehidupan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam. Gambaran dan tanggapan ini akan timbul atau wujud setelah seseorang muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam.

Tegasnya, kajian riwayat hidup Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam adalah suatu usaha mengumpulkan hakikat dan intisari dasar-dasar Islam, kemudiannya memadan dan menyesuaikan dasar-dasar itu dengan kecontohan-kecontohan dari Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam.

Tujuan-tujuan sirah Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam:

1. Memahami peribadi Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam menerusi penghidupan dan suasana kehidupan baginda sendiri. Kesimpulannya, Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam itu bukan sebagai manusia pintar semata-mata tetapi baginda adalah pesuruh Allah Subha Nahu Wa Ta'ala yang menerima wahyu dan taufik daripadaNya.

2. Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul peribadi Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam dalam segenap lapangan hidup yang harmoni, untuk dijadikan sebagai dasar-dasar kehidupan. Andaikata manusia ingin mencari suatu contoh terbaik yang bersifat universal, mereka akan dapat kesemuanya di dalam kehidupan Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam. Maka, tidak hairanlah mengapa Allah Subha Nahu Wa Ta'ala menjadikan Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam sebagai contoh kepada umat manusia. Allah telah menegaskan di dalam kitab suciNya: Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam

Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu terdapat contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu."
(Al-Ahzab:21)

3. Semoga kupasan tentang kehidupan Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam boleh menolong manusia memahami dan mengecapi isi kandungan Al-Quran lantaran banyaknya ayat-ayat yang dihurai dan ditafsirkan oleh kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa sejarah hidup Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam.
4. Agar setiap Muslim dapat mengumpulkan sebanyak mungkin perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar samada pengetahuan bersangkutan dengan 'aqidah kepercayaan, hukum hakam atau tatasusila. Lebih tegas lagi penghidupan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam adalah satu gambaran dengan dimensi yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam.
5. Membolehkan para pendidik dan penda'wah Islam mencontohi dan mengajar, mengikut sistem pendidikan dan pengajaran yang sihat kerana Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam sendiri adalah sebagai pendidik, penasihat, guru dan penunjuk yang utama. Maka para pendidik dan penda'wah Islam tidak membuang masa, malah sentiasa mencari dan menyiasat jalan-jalan dan sistem-sistem pengajaran yang terbaik dalam berdakwah.

Antara faktor yang menjadikan sejarah Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam mampu dan berupaya memenuhi tujuan-tujuan di atas ialah kerana sejarahnya lengkap dan meliputi segenap bidang kehidupan samada dari segi kemanusiaan mahupun kemasyarakatan, samada sebagai seorang individu yang bebas mahupun sebagai seorang anggota masyarakat yang cergas

Sejarah Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam menghidangkan kepada kita sejambak contoh utama bagi seorang pemuda yang waras. Peribadinya dipercayai manusia samada di kalangan keluarga atau sahabat. Baginda menyeru manusia ke jalan Allah secara lemah-lembut dan bersopan-santun Baginda seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah. Baginda seorang ketua negara yang mengemudikan bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar. Baginda seorang suami dan bapa yang halus pergaulannya, teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan terhadap anak dan isteri. Baginda seorang ketua turus angkatan peperangan yang cergas, penuh dengan teknik dan stategi persediaannya. Baginda seorang hamba Allah yang bijak membahagikan tanggungjawabnya untuk Allah, keluarga dan sahabat handai RadiyaLlahu 'anhum ajma'in.

Tidak syak lagi, bahawa mempelajari sejarah hidup Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam menyamai memahami semua sudut kemanusiaan.

Rujukan: Fiqh as-Sirah Jilid 1, Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti
(Di ambil dari e-mail Tuan Haji Ibrahim Abd Rahman)
AGM, Learning & Development Division, MMC

0 comments:

SELAMAT DATANG KE BLOG BAKIT JOHOR SELATAN - Designed by Posicionamiento Web | Bloggerized by GosuBlogger