RAMADHAN....APA PERLU BUAT??

Bagi meraikan Ramadhan yang mulia, ada baiknya saya mengulas ringkas berkenaan Ramadhan. Bulan ini bolehlah dianggap sebagai bulan ‘bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi hamba-hambaNya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia berdasarkan hadith Qudsi yang menyebut : "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim) .


Bonus & Belanjawan
Cuba kita renungkan kembali, kerap kali kita akan merasa gembira apabila tiba hujung tahun bagi mendapat bonus dari majikan kita
Mengapa kita gembira bila mendapat bonus, gaji dan insentif?
Sudah tentu jawabnya kerana ; "dapat duit " .
Mengapa kita seronok mendapat duit ?
Jawabnya ; kerana boleh membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain.
Lalu berapa lamakah keseronokan barang dan perkara yang dibeli tadi ?
Sudah tentu jawabnya, bergantung kepada apa yang dibeli, ada yang rosak cepat dan ada yang lambat.
Jika demikian, jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan itu akan berterusan?
Jawabnya, paling panjang adalah sekadar kita masih hidup sahaja.
Baiklah, selepas kematian adakah masih ada seronok?
Jika tidak, maka apakah yang boleh menyeronokkan kita selepas mati ?
Jawabnya ; tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang dikumpul. Jika banyak dan berkualiti, semua matawang pahala itu akan memberi seribu satu macam keseornokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah s.w.t dan ia pastinya amat panjang.

Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadhan sebagaimana seronoknya kita menerima bonus duit? Sedangkan ramadhan adalah bulan bonus untuk meraih pahala sebanyaknya, bulan dipermudahkan peluang untuk ke syurga Allah s.w.t.
Tapi bezanya, ramai yang kelihatan lebih seronok kerana di permudahkan untuk meraih rumah kediaman di dunia dan mungkin akan dapat 'save' lebih banyak duit. Ini kerana belanjawan baru-baru ini (untuk tahun 2008) akan mewujudkan lebih banyak rumah kos rendah, kos 'stamp duty' bagi rumah RM 250,000 ke bawah dikurangkan 50 %, boleh menggunakan wang akaun kedua dari KWSP untuk pembayaran rumah, yuran sekolah dan peperiksaan anak ditiadakan, buku teks percuma dan lain-lain. Semua ini disambut dengan gembira kerana memberi ruang untuk mengumpul duit dan digunakan untuk perkara lain.

Manakala pada belanjawan 2009 pula pastinya memberikan sedikit kelegaan buat individu berpendapatan rendah dan sederhana. Antara yang dikira menggembirakan adalah seperti :-
**Rebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Ekoran itu 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai.
**Cukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat, dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, mulai 1 September 2008.
**Bayaran bonus sebulan gaji bagi 2008 atau minimum RM1,000 dalam dua bayaran pada September dan Disember ini.
**Kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan.

**Kelayakan pendapatan isirumah untuk mendapat subsidi yuran Taska bulanan RM180, dinaikkan dari RM2,000 kepada RM3,000 mulai 1 Januari 2009.
**Kemudahan tambang pergi-balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak ditambah daripada sekali bagi setiap dua tahun, kepada setiap tahun mulai 1 Januari 2009.

**Pengurangan 50 peratus bayarn tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh du atahun mulai 15 September 2008.
SERONOK HAKIKI DAN SEMENTARA

Keseronokan jiwa yang hadir kerana dipermudahkan cara untuk memiliki rumah dalam belanjawan baru-baru ini lebih didapat dilihat dan dihayati oleh ramai daripada keseronokan untuk memasuki bulan yang dipermudahkan jalan pemilikan rumah syurga di akhirat yang kekal abadi.
Mengapa ini boleh berlaku kepada hati kita?. Apakah silapnya? Mengapa dan mengapa?. Pernahkah kita memikirkan mengapa gembira berpeluang dapat harta akhirat sebagaimana kita gembira mendapat harta dunia.
"Ya Allah, bantulah kami yang telah menzalimi diri kami, tiada tuhan melainkanMu dan engkaulah yang maha pengampun"

TAWARAN BONUS LUAR BIASA
Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada ‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan ‘bonus' dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.
Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).
Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda. Dosa juga boleh berganda di bulan mulia ini. Beliau ada mengutarakan beberapa dalil, bagaimanapun sukar untuk saya muatkan di ruangan terhad ini. Sebagai jalan terbaik, jauhilah dosa sejauh-jauhnya di bulan ini kerana masih terdapat kemungkinan dosa dipergandakan.

SYAITAN KENA GARI?
Umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan di bulan ini. Nabi SAW telah menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) ; terdapat juga ulama yang mengatakan bahawa bulan ini dinamakan ‘Ramadhan' (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah bulan menghanguskan dosa. (Mughni, Ibn Quddamah, 4/116).
Ada pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan di belenggu dalam hadith di atas. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )
Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan utama di belenggu. (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13).

MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN
Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :
" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).
Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).
Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).
Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).
Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-
ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع
Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,
Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم
Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :
إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد
Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)
6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadith Nabi SAW :
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).
Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.
Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.
كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء
Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)
(Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).
Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"
Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

8) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :
‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).
Disebut dalam sebuah hadis lain
ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة
Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

9) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.
Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

10) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

11) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).
Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Sekian dan Ramadhan Kareem..

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
28 Syaaban 1428 H
10 September 2007

KESILAPAN KERAP MUSLIM DI BULAN RAMDHAN

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

ADAB BERPUASA & SOLAT TARAWIKH

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.KenyangSepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei) Sumber: akhbarweb

SELAMAT DATANG KE BLOG BAKIT JOHOR SELATAN - Designed by Posicionamiento Web | Bloggerized by GosuBlogger